Selepas dua tahun tertangguh, projek pembangunan bercampur dikenali sebagai Bukit Bintang City Centre (BBCC) di tapak Penjara Pudu dijangka dimulakan, tahun depan.
Tapak bersejarah bernilai lebih RM1 bilion dimiliki syarikat berkaitan kerajaan UDA Holdings Bhd (UDA) itu akan dibangunkan melalui konsortium dianggotai UDA, pemaju hartanah Eco World Development Group Bhd (Eco World) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
UDA dan Eco World masing-masing memegang 40 peratus kepentingan dalam perkongsian itu dan baki 20 peratus dipegang oleh KWSP.
Pengerusi UDA Datuk Johari Abdul Ghani berkata, konsortium itu akan memuktamadkan perjanjian (antara pemegang saham) dalam tempoh seminggu dan kemudian menghantar kebenaran merancang kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
“Kami harap dapat mula (pembinaan) awal tahun depan,” katanya dalam taklimat media berhubung cadangan pembangunan BBCC di Kuala Lumpur, semalam.
Pada 2011, pelan pembangunan untuk tapak itu yang melibatkan kerjasama antara UDA dengan pemaju dari China, Everbright International Construction Engineering Corp ditolak Kementerian Kewangan.
Johari mengakui, pemilihan Eco World, syarikat yang agak baharu dalam dunia hartanah ialah berasaskan kepakaran dimiliki salah seorang pengarahnya, Tan Sri Liew Kee Sin.
Kee Sin sebelum ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia Bhd, antara pemaju hartanah terkemuka di Malaysia sebelum melepaskan jawatan itu pada 30 April lalu dan menyertai Eco World sebagai pengarah bukan eksekutif.
“Kami lihat pengalaman mereka, bagaimana mereka (KWSP dan Kee Sin pada masa itu masih bersama SP Setia) membangunkan projek Stesen Janakuasa Battersea di London (bersama Sime Darby Bhd),” katanya.
BBCC ialah pembangunan bercampur merangkumi lebih lima juta kaki persegi ruang pejabat, kediaman, pusat membeli-belah dan hotel.
Menurut Johari, UDA mempelawa Eco World menyertai konsortium itu apabila gagal mendapat cadangan yang diingini selepas membuka permohonan untuk cadangan pada September 2013.
“Apabila mendapati pembida yang hantar cadangan tidak mampu penuhi apa kami mahu, kami mula cari syarikat yang ada kepakaran. Kepakaran ini mesti gabungan dua perkara, pengalaman dan kewangan,” katanya yang yakin gabungan UDA, Eco World dan KWSP akan menjamin kewangan projek itu.
Beliau berkata, pembinaan BBCC dengan nilai pembangunan kasar RM7 bilion dijangka mengambil masa lima hingga tujuh tahun.
Pintu gerbang asal Penjara Pudu yang masih berdiri teguh di tapak itu tidak akan dirobohkan dan akan digabungkan dalam pembangunan itu sebagai cebisan sejarah untuk tatapan pengunjung.
Penjara Pudu siap dibina pada 1895, dihentikan operasi pada 1996 dan dirobohkan pada 2012.
Johari berkata, berdasarkan analisis, BBCC juga tidak akan memberi kesan buruk kepada lalulintas di sekitar kawasan itu kerana kedudukannya di hab pengangkutan awam selain pembinaan jalan pintasan dan kawasan parkir yang boleh memuatkan lebih 8,000 kereta kelak.
“BBCC akan jadi penyumbang utama pendapatan berulang UDA dengan sewaan ruang komersil dijangka mencecah RM160 juta setahun,” katanya.
Sementara itu, Johari juga memberi jaminan penyertaan Bumiputera dalam projek itu tidak akan diketepikan.
Beliau berkata, konsortium itu bersetuju sekurang-kurangnya 50 peratus pembinaan BBCC akan diperuntukkan hanya untuk kontraktor Bumiputera yang layak.
Menurutnya, BBCC juga akan dilengkapi kawasan bazar yang dapat menempatkan produk Bumiputera yang tidak memiliki jenama besar.
Johari turut mengalu-alukan pihak yang ingin mendapatkan penjelasan mengenai agenda Bumiputera dalam BBCC untuk bertemu dengannya.
“UDA, Eco World, KWSP, semua syarikat Malaysia. Kami bina sesuatu untuk dikongsi dengan rakyat Malaysia tanpa melupakan agenda Bumiputera,” katanya.
Sementara itu, penganalisis industri hartanah Wong Wei Sum dari Maybank Investment Bank berkata, pengurusan Eco World yang kukuh dan keupayaan kewangan KWSP akan membawa manfaat besar kepada projek itu.
“Walaupun Eco World mungkin syarikat baharu, tetapi ia disokong oleh pasukan pengurusan yang sangat berpengalaman,” katanya semasa dihubungi, semalam.
Beliau juga percaya reputasi UDA sebagai pemaju hartanah akan turut meningkat melalui konsortium itu.
“UDA sebagai sebuah jenama tidaklah begitu kuat seperti Eco World. Eco World (syarikat) baharu tetapi terdapat keyakinan terhadap syarikat itu (berdasarkan barisan pengurusannya).
“Dengan pembangunan seperti ini, UDA perlu sokongan syarikat yang kukuh. Risiko pelaksanaan (projek itu) lebih rendah bagi UDA melalui perkongsian dengan Eco World dan KWSP berbanding jika UDA lakukannya secara bersendirian,” katanya.
Credit sinarharian
Credit sinarharian
No comments:
Post a Comment