Kunak: Sebanyak 150 rumah setinggan dan rumah kedai musnah dalam
kejadian kebakaran di Jalan Masjid Raya, Kampung Pangkalan, di sini,
awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, semua penghuni gagal
menyelamatkan rumah mereka apabila api merebak dengan pantas berikutan
jarak rumah yang terlalu dekat.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Kunak Jaafar Salleh,
pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.48 pagi dan seramai 12
anggota bersama tiga jentera dikejar ke lokasi kejadian.
"Setibanya di lokasi, kebakaran hanya membabitkan dua rumah namun
api merebak dengan pantas berikutan keadaan jarak rumah yang terlalu
dekat.
"Pihak bomba sukar mengawal kebakaran dan ia hanya berjaya dikawal
selepas hampir empat jam kemudian," katanya ketika dihubungi, sebentar
tadi.
Jaafar berkata, pihaknya berjaya memadamkan api sepenuhnya pada jam 7.59 pagi.
"Tiada sebarang kejadian membabitkan kemalangan jiwa dan punca
kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak bomba,"
katanya.
Credit HarianMetro
No comments:
Post a Comment