Pelaksanaan Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) yang dijadual
bermula pada Ogos ditangguhkan sehingga diberitahu kelak, kata Menteri
Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diminta untuk
menjalankan kajian lanjut bagi menyemak kurikulum termasuk implikasinya
terhadap kos.
Beliau menegaskan bahawa keselamatan jalan raya adalah amat
penting untuk mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya di Malaysia yang
dilaporkan masih tinggi.
"Kurikulum baru penting untuk memupuk pemanduan selamat dan
bertanggungjawab di kalangan pengguna jalan raya. Bagaimanapun, sebarang kos
berkaitan pelaksanaan kurikulum baharu perlu mengambil kira kesan kewangan ke
atas rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata JPJ telah menjalankan kajian dan penyelidikan yang
sewajarnya untuk mewujudkan kurikulum baru yang akan memastikan standard baru
bagi keselamatan jalan raya di negara ini.
Liow berkata walaupun keperluan rakyat diberi keutamaan, ia perlu
diseimbangkan dengan keselamatan pengguna jalan raya.
Sebelum itu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan kurikulum baru yang
memberi penekanan kepada usaha melahirkan pemandu yang berhemah dan berdisiplin
untuk menggantikan kurikulum lama yang menekankan kepada kemahiran dan
pemahaman peraturan jalan raya.
Kurikulum baru juga termasuk penukaran kepada kenderaan transmisi
automatik untuk membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia terutama generasi tua
dan wanita, memperoleh lesen memandu yang sah.
Sementara itu, Pergerakan Pemuda Umno tidak bersetuju jika kadar
untuk mendapatkan lesen memandu kereta dan motosikal dinaikkan.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata beliau sudah menyuarakan
pandangan Pemuda Umno kepada Menteri Pengangkutan supaya kadar itu tidak
dinaikkan selepas menghadiri mesyuarat Kabinet, pagi tadi.
"Saya maklumkan sebagai Ketua Pemuda bahawa harga untuk
memperoleh lesen memandu tidak wajar dinaikkan sebab akan memberi kesan kepada
golongan muda terutama mereka yang tidak mampu," katanya kepada pemberita
selepas menghadiri
sesi membeli belah baju raya bersama anak yatim dan golongan
kurang berkemampuan, di sini.
Khairy, yang juga menteri belia dan sukan, berkata kesan kedua
terhadap kenaikan harga memperoleh lesen akan turut mengakibatkan lebih banyak
masalah timbul apabila golongan muda memilih untuk memandu kereta atau
menunggang
motosikal tanpa lesen disebabkan terlalu mahal.
Semalam, orang ramai dikejutkan dengan dakwaan bahawa kadar untuk
mendapatkan lesen kenderaan dan motor telah dinaikkan kepada RM2,000 bagi lesen
kereta kelas D dan RM1,050 bagi lesen motosikal kelas B2 berkuatkuasa 14 Julai
lepas.
Terdahulu, Khairy sempat meluangkan masa kira-kira sejam untuk
membeli belah baju raya bersama 150 anak yatim dan golongan kurang berkemampuan
terpilih dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Wisma Jakel, Jalan Tuanku
Abdul Rahman, di ibu negara.
Credit bernama
No comments:
Post a Comment