Where we are now

PEGAWAI JAKIM SEDIA MAKAN COKLAT CADBURY UNTUK BUKTIKAN HALAL (1 FOTO)

KUALA LUMPUR: Bagi membuktikan status halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terhadap coklat Cadbury benar-benar meyakinkan, pegawai jabatan itu sedia pada bila-bila masa untuk membuat demonstrasi memakan coklat tersebut.


Pengarah Kanan Bahagian Hab Halal JAKIM, Mohd Amri Abdullah berkata pihaknya berpegang kepada keputusan yang telah mereka keluarkan dan tidak ada masalah untuk pihaknya membuktikan kepada orang ramai bahawa coklat Cadbury adalah halal. 



Mohd Amri berkata, proses memberikan status halal kepada sesuatu produk dibuat setelah prosedur dan standard yang ditetapkan ditepati. 

"Sebagaimana yang disebutkan bahawa status Cadbury yang diputuskan adalah halal. Kalau diminta kami makan coklat Cadbury kami yakin bahawa apa yang diberikan status pensijilan itu adalah halal sepenuhnya. 

"Dalam hal ini, ia memerlukan keyakinan yang begitu utuh, yang begitu kuat untuk menentukan konsep halal. 

"Kalau di pihak pengguna jika adanya was-was, adanya keraguan yang melampau, lebih baik tinggalkan," katanya ketika kepada Astro AWANI menerusi AWANI745 malam tadi. 

Mohd Amri berkata keputusan yang dibuat oleh Jakim terhadap coklat Cadbury itu adalah sama dengan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kimia. 

Katanya, ini bermakna JAKIM membuat keputusan berdasarkan apa yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Kimia dan prosedur lain yang perlu dipatuhi. 

"Untuk keputusan pensijilan halal ini, pihak JAKIM hanya menggunakan makmal jabatan kimia yang dibenarkan sahaja. 

"Standard dan prosedur yang JAKIM gunakan untuk memberikan pensijilan halal ini adalah sama dengan apa yang digunakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya. 

Beliau juga menafikan keputusan yang dibuat JAKIM pada Isnin merupakan satu tindakan membuat pusingan U sepertimana yang didakwa sesetengah pihak. 

Selain itu Mohd Amri masyarakat juga perlu faham bahawa semua perkara berkaitan pensijilan halal perlu dirujuk kepada JAKIM iaitu pihak yang diberi kuasa dalam bidang itu. 

"JAKIM diibaratkan sebagai imam, pengguna adalah sebagai makmum, perlu mengikut apa yang ditentukan JAKIM dalam soal halal atau haram ini." 

Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan adanya DNA babi (porcine) dalam dua produk coklat susu Cadbury Dairy Milk. 

Hasil siasatan oleh KKM mendapati tiga (3) sampel coklat Cadbury telah diambil untuk analisis DNA babi (porcine) bagi tujuan pemantauan. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada Isnin bagaimanapun mengumumkan tiada DNA babi dikesan dalam dua produk coklat Cadbury berkenaan. Pengumuman dibuat selepas ujian dijalankan oleh Jabatan Kimia ke atas sampel yang diambil dari kilang. 

Namun pengumuman yang dibuat oleh Jamil Khir itu masih menimbulkan was-
was di kalangan pengguna berkenaan status coklat Cadbury. 



Credit Astro Awani

No comments:

Post a Comment

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...